28 Raja Siria akan pulang dengan segala barang jarahannya. Dia bertekad untuk memusnahkan agama umat Allah. Dia akan berbuat sesuka hatinya, lalu pulang ke negerinya.
29 Tidak lama kemudian, raja Siria akan menyerang Mesir lagi, tetapi kali ini akibatnya lain daripada kali yang pertama.
30 Orang Roma akan datang dengan kapal-kapal laut dan memerangi raja Siria, dan raja akan menjadi takut.Kemudian raja Siria akan pulang dengan murka sekali, lalu berusaha menghancurkan agama umat Allah. Raja Siria akan mengikut nasihat orang yang telah meninggalkan agama itu.
31 Beberapa orang askar raja akan menajiskan Rumah TUHAN. Mereka akan menghentikan korban harian, dan mendirikan ‘Bencana Yang Dahsyat’ itu.
32 Dengan tipu daya raja akan berjaya mendapat sokongan orang yang telah meninggalkan agama itu, tetapi pengikut-pengikut Allah akan melawannya.
33 Para pemimpin rakyat yang bijaksana akan menolong banyak orang mendapat pengertian, tetapi untuk sementara waktu beberapa orang antara mereka akan terbunuh di medan perang atau dibakar sehingga mati. Ada pula yang dirompak dan dijadikan orang tawanan.
34 Semasa pembunuhan itu berlaku, umat Allah akan mendapat sedikit pertolongan, walaupun orang yang menyertai golongan itu hanya mementingkan diri sendiri.