32 Dengan tipu daya raja akan berjaya mendapat sokongan orang yang telah meninggalkan agama itu, tetapi pengikut-pengikut Allah akan melawannya.
33 Para pemimpin rakyat yang bijaksana akan menolong banyak orang mendapat pengertian, tetapi untuk sementara waktu beberapa orang antara mereka akan terbunuh di medan perang atau dibakar sehingga mati. Ada pula yang dirompak dan dijadikan orang tawanan.
34 Semasa pembunuhan itu berlaku, umat Allah akan mendapat sedikit pertolongan, walaupun orang yang menyertai golongan itu hanya mementingkan diri sendiri.
35 Beberapa orang pemimpin yang bijaksana itu akan dibunuh, tetapi akibatnya umat itu akan menjadi murni. Perkara itu akan berlangsung sehingga akhir jangka masa yang telah ditentukan oleh Allah.
36 Raja Siria akan berbuat sesuka hati. Dengan sombong, raja akan menganggap dirinya lebih besar daripada dewa mana pun, bahkan lebih berkuasa daripada Allah Yang Maha Tinggi. Raja itu berbuat demikian sehingga tiba waktunya Allah menghukum dia. Allah akan melakukan tepat seperti rancangan-Nya.
37 Raja itu tidak akan mengendahkan dewa yang disembah oleh nenek moyangnya, dan juga dewa yang dipuja kaum wanita. Sebenarnya raja itu tidak akan mengendahkan semua dewa kerana pada sangkanya dirinya lebih besar daripada semua itu.
38 Sebaliknya raja itu akan menyembah dewa yang melindungi kubu-kubu. Raja itu mempersembahkan emas, perak, batu permata, dan hadiah-hadiah lain yang mahal kepada dewa yang tidak pernah disembah oleh nenek moyangnya.