2 Banyak orang yang sudah mati akan hidup semula: ada yang akan menikmati kehidupan kekal, ada pula yang akan menderita hinaan kekal.
3 Pemimpin-pemimpin yang bijaksana akan bersinar seperti langit yang cerah, dan mereka yang mengajar orang berbuat baik dan adil akan bersinar seperti bintang selama-lamanya.”
4 Malaikat itu berkata kepadaku, “Sekarang, hai Daniel, tutuplah dan meteraikanlah kitab itu, sehingga akhir zaman. Sementara itu banyak orang akan cuba memahami hal yang sedang berlaku, tetapi usaha mereka sia-sia saja.”
5 Selepas itu aku nampak dua orang lelaki, yang satu berdiri di tebing sungai di sebelah sini, dan yang satu lagi di sebelah sana.
6 Orang yang satu bertanya kepada malaikat yang berdiri di hulu sungai, “Berapa lamakah kejadian-kejadian yang ajaib itu berlangsung sebelum semuanya berakhir?”
7 Malaikat itu mengangkat kedua-dua tangannya ke arah langit, lalu bersumpah demi nama Allah yang kekal. Aku mendengar dia berkata, “Tiga tahun setengah! Setelah penganiayaan terhadap umat Allah berakhir, maka kejadian-kejadian yang ajaib itu pun akan berakhir.”
8 Aku mendengar kata-katanya, tetapi aku tidak memahaminya. Oleh itu aku bertanya, “Tetapi, tuan, bagaimanakah kesudahannya kelak?”