26 Kemudian raja bertanya kepada Daniel yang juga disebut Beltsazar, “Dapatkah kamu memberitahu beta mimpi beta dan mentafsirkannya?”
27 Daniel menjawab, “Tiada orang berilmu, ahli sihir, penilik atau ahli nujum yang dapat melakukan hal itu.
28 Tetapi Allah penguasa di syurga, menyatakan segala rahsia; Dia telah memberitahu tuanku hal masa depan. Oleh itu perkenanlah hamba menceritakan mimpi tuanku, iaitu penglihatan yang tuanku nampak ketika tuanku beradu.
29 Ketika tuanku beradu, tuanku bermimpi tentang perkara masa depan, dan Allah yang menyatakan segala rahsia telah memperlihatkan perkara yang akan berlaku itu kepada tuanku.
30 Allah telah menjelaskan rahsia mimpi itu kepada hamba, bukan kerana hamba lebih bijak daripada sesiapa pun, tetapi supaya tuanku boleh memahami tafsiran mimpi itu dan mengerti akan isi hati tuanku.
31 Dalam penglihatan itu tuanku nampak sebuah patung di hadapan tuanku. Patung itu sangat besar, berkilau-kilauan, dan sungguh menakutkan.
32 Kepalanya dibuat daripada emas tulen; dada dan lengannya daripada perak; pinggang dan pinggulnya daripada gangsa;