20 Baginda memerintah beberapa orang askar yang paling kuat untuk mengikat ketiga-tiga orang itu dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu.
21 Askar raja pun mengikat tiga orang itu yang masih berpakaian lengkap - baju labuh, jubah, serban dan semua pakaian lain - lalu melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala.
22 Oleh sebab raja memberikan perintah supaya relau itu dipanaskan lebih daripada biasa, api itu membakar sampai mati askar-askar yang melemparkan tiga orang itu ke dalam relau.
23 Sadrakh, Mesakh, dan Abednego jatuh ke dalam relau yang bernyala-nyala itu, dalam keadaan terikat.
24 Tiba-tiba Raja Nebukadnezar berdiri kerana terkejut dan bertanya kepada pegawai-pegawainya, “Bukankah kita mengikat tiga orang dan melemparkan mereka ke dalam relau yang bernyala-nyala itu?”Mereka menjawab, “Benar, tuanku.”
25 “Tetapi mengapakah beta nampak empat orang berjalan-jalan di tengah-tengah api itu?” tanya raja. “Mereka tidak terikat, dan nampaknya mereka tidak cedera. Orang keempat itu rupanya seperti malaikat.”
26 Lalu Raja Nebukadnezar menghampiri pintu relau itu dan bertitah, “Sadrakh! Mesakh! Abednego! Hamba-hamba Allah Yang Maha Tinggi, keluarlah!” Mereka pun keluar dengan segera.