Daniel 4:19-25 BM

19 Daniel, yang juga dinamakan Beltsazar, begitu terkejut untuk seketika sehingga tidak dapat berkata-kata. Tetapi raja bertitah, “Hai Beltsazar, janganlah berasa cemas kerana mimpi itu dan tafsirannya.”Beltsazar menjawab, “Tuanku, sesungguhnya hamba berharap mimpi itu serta tafsirannya tentang musuh tuanku, dan bukan tentang tuanku.

20 Pokok itu amat tinggi dan memuncak ke langit, sehingga dapat dilihat oleh setiap orang di bumi.

21 Daunnya segar dan buahnya lebat sehingga cukup bagi makanan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya dan burung membuat sarang di dahannya.

22 Ya tuanku, tuankulah pokok yang tinggi dan kuat itu. Kebesaran tuanku bertambah sehingga memuncak ke langit, dan kekuasaan tuanku meluas ke seluruh bumi.

23 Ketika tuanku sedang memandang, satu malaikat turun dari syurga dan berkata, ‘Tebanglah pokok itu dan musnahkannya, tetapi biarkan tunggulnya di tanah. Ikatlah tunggul itu dengan rantai besi dan gangsa, lalu tinggalkan tunggul itu bersama-sama rumput di padang. Biarlah orang itu kena embun, dan biarlah dia tinggal di situ bersama-sama binatang selama tujuh tahun.’

24 Inilah tafsirannya, hai tuanku, dan inilah yang dinyatakan Allah Yang Maha Tinggi tentang hal yang akan berlaku kepada tuanku.

25 Tuanku akan diusir daripada masyarakat, dan akan tinggal bersama-sama binatang buas. Selama tujuh tahun tuanku akan makan rumput seperti lembu, beradu di lapangan terbuka sehingga dibasahi embun. Barulah tuanku tahu bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas segala kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.