Daniel 4:21-27 BM

21 Daunnya segar dan buahnya lebat sehingga cukup bagi makanan orang di seluruh dunia. Binatang buas berteduh di bawahnya dan burung membuat sarang di dahannya.

22 Ya tuanku, tuankulah pokok yang tinggi dan kuat itu. Kebesaran tuanku bertambah sehingga memuncak ke langit, dan kekuasaan tuanku meluas ke seluruh bumi.

23 Ketika tuanku sedang memandang, satu malaikat turun dari syurga dan berkata, ‘Tebanglah pokok itu dan musnahkannya, tetapi biarkan tunggulnya di tanah. Ikatlah tunggul itu dengan rantai besi dan gangsa, lalu tinggalkan tunggul itu bersama-sama rumput di padang. Biarlah orang itu kena embun, dan biarlah dia tinggal di situ bersama-sama binatang selama tujuh tahun.’

24 Inilah tafsirannya, hai tuanku, dan inilah yang dinyatakan Allah Yang Maha Tinggi tentang hal yang akan berlaku kepada tuanku.

25 Tuanku akan diusir daripada masyarakat, dan akan tinggal bersama-sama binatang buas. Selama tujuh tahun tuanku akan makan rumput seperti lembu, beradu di lapangan terbuka sehingga dibasahi embun. Barulah tuanku tahu bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas segala kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

26 Perintah yang diberikan supaya tunggul itu ditinggalkan di tanah bermakna tuanku akan menjadi raja lagi setelah tuanku mengakui bahawa Allah menguasai seluruh dunia.

27 Oleh itu, hai tuanku, turutlah nasihat hamba. Janganlah berdosa lagi. Lakukanlah apa yang baik dan adil, dan kasihanilah orang yang ditindas. Dengan demikian tuanku akan tetap makmur.”