24 Inilah tafsirannya, hai tuanku, dan inilah yang dinyatakan Allah Yang Maha Tinggi tentang hal yang akan berlaku kepada tuanku.
25 Tuanku akan diusir daripada masyarakat, dan akan tinggal bersama-sama binatang buas. Selama tujuh tahun tuanku akan makan rumput seperti lembu, beradu di lapangan terbuka sehingga dibasahi embun. Barulah tuanku tahu bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas segala kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
26 Perintah yang diberikan supaya tunggul itu ditinggalkan di tanah bermakna tuanku akan menjadi raja lagi setelah tuanku mengakui bahawa Allah menguasai seluruh dunia.
27 Oleh itu, hai tuanku, turutlah nasihat hamba. Janganlah berdosa lagi. Lakukanlah apa yang baik dan adil, dan kasihanilah orang yang ditindas. Dengan demikian tuanku akan tetap makmur.”
28 Semua perkara itu berlaku kepada Raja Nebukadnezar.
29 Dua belas bulan kemudian, semasa raja berjalan di bumbung istananya di Babel,
30 raja bertitah, “Lihatlah, betapa megahnya kota Babel! Beta telah membinanya sebagai ibu kota beta untuk membuktikan kuasa dan kebesaran beta, kemuliaan serta keagungan beta.”