Daniel 4:32-37 BM

32 Kamu akan diusir daripada masyarakat, lalu tinggal di tengah-tengah binatang buas. Kamu akan makan rumput seperti lembu selama tujuh tahun. Barulah kamu akan mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas kerajaan manusia, dan Dia berkuasa memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”

33 Kata-kata itu menjadi kenyataan dengan serta-merta. Raja Nebukadnezar diusir daripada masyarakat dan makan rumput seperti lembu. Badannya dibasahi embun, rambutnya menjadi panjang seperti bulu burung helang, dan kukunya pula menjadi panjang seperti cakar burung.

34 Raja bertitah, “Selepas tujuh tahun itu beta memandang ke langit. Tiba-tiba fikiran beta waras semula. Beta memuji Allah Yang Maha Tinggi sambil menghormati dan memuliakan Dia yang hidup selama-lamanya.Allah akan memerintah selama-lamanya,kerajaan-Nya akan tetap sepanjang masa.

35 Manusia di dunia tidak bererti bagi-Nya;malaikat di syurga dan manusia di bumi,semua di bawah kuasa-Nya.Tiada sesiapa dapat menentang kehendak-Nya,ataupun menyoal perbuatan-Nya.

36 Apabila beta menjadi waras semula, kebesaran dan keagungan beta, serta kemasyhuran kerajaan beta dikembalikan kepada beta. Para pegawai dan pembesar beta menyambut beta, dan kekuasaan beta sebagai raja dikembalikan kepada beta, dan keagungan beta menjadi lebih besar daripada dahulu.

37 Sekarang beta, Nebukadnezar, memuji, menghormati, dan memuliakan Raja penguasa di syurga. Segala perbuatan-Nya benar dan adil. Dia sanggup merendahkan sesiapa yang berlaku sombong.”