Daniel 5:18-24 BM

18 Allah Yang Maha Tinggi telah melantik ayahanda tuanku, Raja Nebukadnezar menjadi raja yang besar, serta memberi baginda kehormatan dan keagungan.

19 Baginda menjadi begitu besar sehingga orang daripada semua bangsa, kaum, dan bahasa takut dan gentar kepadanya. Baginda membunuh atau membiarkan seseorang hidup menurut kesukaannya. Baginda meninggikan atau merendahkan sesiapa saja menurut kehendaknya.

20 Tetapi kerana baginda menjadi sombong, keras kepala, dan kejam, baginda diturunkan daripada takhta lalu kehilangan keagungannya.

21 Baginda diusir jauh daripada masyarakat, dan akalnya menjadi seperti akal binatang. Baginda tinggal bersama-sama keldai, makan rumput seperti lembu, dan tidur di lapangan terbuka sehingga tubuhnya dibasahi embun. Akhirnya baginda mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas semua kerajaan manusia, dan Dia memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

22 Tetapi tuanku sendiri, puteranya, tidak merendahkan diri, walaupun tuanku tahu akan segala hal itu.

23 Tuanku telah menentang Tuhan penguasa di syurga. Tuanku telah menggunakan mangkuk-mangkuk yang diambil dari Rumah TUHAN. Tuanku, para pembesar tuanku, semua isteri, dan gundik tuanku telah minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu, serta memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu - dewa-dewa yang tidak dapat melihat, atau mendengar, atau mengetahui apa-apa. Tuanku tidak menghormati Allah yang berkuasa menentukan sama ada tuanku hidup atau mati, dan yang menguasai segala perbuatan tuanku.

24 Itulah sebabnya Allah menyuruh tangan itu menulis tulisan ini.