21 Baginda diusir jauh daripada masyarakat, dan akalnya menjadi seperti akal binatang. Baginda tinggal bersama-sama keldai, makan rumput seperti lembu, dan tidur di lapangan terbuka sehingga tubuhnya dibasahi embun. Akhirnya baginda mengakui bahawa Allah Yang Maha Tinggi mempunyai kuasa atas semua kerajaan manusia, dan Dia memberikan kerajaan itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
22 Tetapi tuanku sendiri, puteranya, tidak merendahkan diri, walaupun tuanku tahu akan segala hal itu.
23 Tuanku telah menentang Tuhan penguasa di syurga. Tuanku telah menggunakan mangkuk-mangkuk yang diambil dari Rumah TUHAN. Tuanku, para pembesar tuanku, semua isteri, dan gundik tuanku telah minum wain daripada mangkuk-mangkuk itu, serta memuji dewa-dewa yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, besi, kayu, dan batu - dewa-dewa yang tidak dapat melihat, atau mendengar, atau mengetahui apa-apa. Tuanku tidak menghormati Allah yang berkuasa menentukan sama ada tuanku hidup atau mati, dan yang menguasai segala perbuatan tuanku.
24 Itulah sebabnya Allah menyuruh tangan itu menulis tulisan ini.
25 Tulisan itu ialah ‘Dihitung, dihitung, ditimbang, dan dibahagi.’
26 Dihitung bermakna Allah telah menghitung masa pemerintahan tuanku, dan mengakhirinya.
27 Ditimbang bermakna tuanku telah ditimbang dan ternyata terlalu ringan.