Daniel 6:8-14 BM

8 Kami semua yang mentadbir kerajaan tuanku - para pengawas, gabenor, pegawai tinggi, pegawai daerah, dan pegawai yang lain - telah bersetuju agar tuanku mengeluarkan satu perintah yang harus ditaati dengan sungguh-sungguh. Hendaknya tuanku perintahkan agar selama tiga puluh hari tidak seorang pun boleh meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu harus dibuang ke dalam gua singa.

9 Oleh itu biarlah tuanku mengeluarkan perintah itu serta menandatanganinya. Biarlah perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah lagi.”

10 Demikianlah Raja Darius menandatangani perintah itu.

11 Apabila Daniel mengetahui bahawa perintah itu sudah ditandatangani, dia pulang ke rumah. Di bilik pada tingkat atas rumahnya ada beberapa buah tingkap yang menghadap Yerusalem. Seperti biasanya, Daniel berlutut di hadapan tingkap-tingkap yang terbuka itu, lalu berdoa kepada Allah tiga kali sehari.

12 Apabila musuh-musuh Daniel nampak dia berdoa kepada Allah,

13 mereka semua menghadap raja untuk mengadu tentang Daniel. Mereka berkata, “Tuanku telah menandatangani satu perintah yang melarang sesiapa pun selama tiga puluh hari ini untuk meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu akan dibuang ke dalam gua singa.”Raja bertitah, “Memang benar. Perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah.”

14 Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah satu orang buangan dari Yehuda, tidak menghormati tuanku dan tidak mematuhi perintah tuanku. Dia tetap berdoa tiga kali sehari.”