19 Katanya lagi, “Aku akan memberitahu engkau keadaannya kelak sebagai akibat kemurkaan Allah. Penglihatan itu tentang akhir zaman.
20 Domba jantan yang mempunyai dua buah tanduk, yang kamu nampak itu melambangkan kerajaan Media dan Persia.
21 Kambing jantan itu melambangkan kerajaan Yunani, dan tanduk yang menonjol di antara dua matanya melambangkan raja yang pertama.
22 Empat buah tanduk yang muncul selepas tanduk yang pertama itu patah, bermakna kerajaan Yunani akan terpecah menjadi empat kerajaan yang tidak sekuat kerajaan yang pertama itu.
23 Apabila keruntuhan keempat-empat kerajaan itu telah dekat sehingga harus dihukum, dan kejahatan di situ telah memuncak, maka akan muncul seorang raja yang keras kepala, jahat, dan licik.
24 Dia akan menjadi kuat, tetapi bukan dengan kuasanya sendiri. Dia akan menyebabkan kebinasaan yang mengerikan, dan akan berjaya dalam segala usahanya. Dia akan membinasakan orang yang gagah perkasa, dan umat Allah juga.
25 Oleh kerana kelicikannya, dia akan berjaya dalam segala penipuannya. Dia akan berbangga dengan dirinya, dan membinasakan banyak orang tanpa memberikan amaran. Malahan dia akan berani mencabar Raja Yang Maha Besar. Tetapi dia akan dibinasakan tanpa kuasa manusia.