12 Engkau telah melaksanakan ancaman-Mu terhadap kami dan penguasa-penguasa kami. Engkau menghukum Yerusalem lebih dahsyat daripada kota-kota lain di dunia.
13 Engkau menghukum kami menurut semua yang tertulis dalam Taurat Musa. Bahkan sekarang pun, ya TUHAN, Allah kami, kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati-Mu. Kami tidak bertaubat daripada dosa kami atau menurut ajaran-Mu yang benar.
14 Engkau bersedia menghukum kami, ya TUHAN, Allah kami, dan Engkau sudah pun menghukum kami. Apa yang Engkau lakukan memang adil kerana kami tidak mendengarkan Engkau.
15 Engkau telah menunjukkan kuasa-Mu ketika Engkau membawa umat-Mu keluar dari Mesir, ya Tuhan, Allah kami. Kami masih ingat akan kuasa-Mu itu. Kami telah berdosa dan berbuat kesalahan.
16 Engkau telah membela kami pada masa dahulu. Oleh itu janganlah murka lagi terhadap Yerusalem. Kota ini kota-Mu, bukit-Mu yang suci. Semua orang dari negeri-negeri jiran menghina Yerusalem dan umat-Mu, kerana dosa kami dan kejahatan yang dilakukan nenek moyang kami.
17 Dengarlah doa dan permohonanku, ya Allah. Pulihkanlah Rumah-Mu yang telah dimusnahkan itu agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan.
18 Dengarkanlah kami, ya Allah; pandanglah kami, dan lihatlah kesusahan kami. Lihatlah penderitaan kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami berdoa kepada-Mu kerana Engkau penuh belas kasihan dan bukan kerana jasa kami.