1 TUHAN berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, kaum keluargamu, dan rumah bapamu; pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.
2 Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memberkati engkau dan menjadikan namamu termasyhur, sehingga engkau menjadi berkat bagi bangsa-bangsa.
3 Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau,dan mengutuk orang yang mengutuk engkau.Melalui engkau,Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.”
4-5 Abram berumur 75 tahun ketika dia meninggalkan Haran, menurut perintah TUHAN kepadanya. Abram berangkat ke tanah Kanaan bersama-sama Sarai isterinya, Lot anak saudaranya, dan membawa semua harta benda serta hamba yang diperoleh mereka di Haran.Selepas mereka tiba di Kanaan,
6 Abram menjelajahi tanah itu sehingga dia tiba di pokok keramat di More, tempat ibadat di Sikhem. (Pada masa itu orang Kanaan masih tinggal di tanah itu.)
7 TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Inilah negeri yang akan Kuberikan kepada keturunanmu.” Kemudian Abram membina sebuah mazbah di situ untuk TUHAN yang sudah menampakkan diri kepadanya.