Kejadian 24 BM

Isteri untuk Ishak

1 Abraham sudah tua dan dia diberkati TUHAN dalam segala hal.

2 Pada suatu hari dia berkata kepada hambanya yang paling tua, yang mengurus segala harta bendanya, “Letakkanlah tanganmu di antara pangkal pahaku dan bersumpahlah.

3 Bersumpahlah demi nama TUHAN, Allah yang menguasai langit dan bumi, bahawa kamu tidak akan mencari isteri untuk anakku Ishak, di kalangan orang di tanah Kanaan ini.

4 Kamu harus kembali ke negeri tempat kelahiranku untuk mencari isteri baginya di kalangan saudara maraku.”

5 Tetapi hambanya itu bertanya, “Bagaimanakah jika gadis itu enggan meninggalkan rumahnya untuk datang bersama saya ke negeri ini? Haruskah saya menghantar anak tuan itu kembali ke negeri asal tuan?”

6 Abraham menjawab, “Jangan sekali-kali hantar anakku ke sana!

7 TUHAN, Allah yang menguasai langit, sudah membawa aku ke sini dari rumah bapaku dan dari tanah saudara maraku. Dia sudah bersumpah kepadaku bahawa Dia akan memberikan tanah ini kepada keturunanku. Dia akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu, supaya di sana kamu boleh mendapatkan seorang isteri untuk anakku.

8 Jika gadis itu enggan mengikut kamu, maka kamu bebas daripada sumpah ini. Tetapi jangan hantar anakku ke sana walau apa pun yang terjadi.”

9 Kemudian hamba itu meletakkan tangannya di antara pangkal paha Abraham, tuannya, lalu dia bersumpah untuk melakukan apa yang diminta oleh Abraham.

10 Hamba yang mengurus harta benda Abraham itu, dengan sepuluh ekor unta yang mengangkut berbagai-bagai barang berharga daripada tuannya, berangkat ke kota tempat tinggal Nahor semasa hidupnya; tempat itu terletak di bahagian utara Mesopotamia.

11 Apabila dia tiba di sana, dia menghentikan unta-unta itu supaya berehat dekat sebuah perigi di luar kota. Hari sudah petang, dan itulah waktunya para wanita datang ke perigi untuk menimba air.

12 Kemudian hamba itu berdoa, “Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah, supaya tugasku berjaya pada hari ini; tepatilah janji-Mu kepada tuanku Abraham.

13 Lihatlah aku berdiri dekat perigi ini. Sebentar lagi gadis-gadis kota ini akan datang menimba air.

14 Aku akan berkata kepada salah seorang daripada mereka, ‘Tolong turunkan buyungmu dan berilah aku minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum,’ semoga dialah orang yang sudah Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Jika hal ini berlaku, aku akan tahu bahawa Engkau sudah menepati janji-Mu kepada tuanku Abraham.”

15 Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka tiba dengan membawa buyung air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel; ibu bapa Betuel ialah Nahor dan Milka. Nahor ialah abang Abraham.

16 Ribka seorang gadis yang sangat cantik dan masih dara. Dia menuju ke perigi itu dan mengisi buyungnya, lalu balik.

17 Hamba Abraham berlari untuk menemuinya lalu berkata, “Tolong, nak, berilah saya minum dari buyungmu.”

18 Gadis itu berkata, “Minumlah, tuan,” lalu dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahu, dan sambil memegang buyung dia memberi minum kepada hamba itu.

19 Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Saya akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sepuas-puasnya.”

20 Kemudian dengan cepat dia menuang air dari buyungnya ke dalam tempat minum unta, lalu dia berlari balik ke perigi untuk mengambil lebih banyak air sehingga semua binatang itu puas minum.

21 Sementara itu hamba Abraham masih memperhatikan gadis itu tanpa berkata sepatah pun. Dia ingin tahu sama ada TUHAN menjayakan dia untuk menjalankan tugasnya atau tidak.

22 Setelah semua unta minum sepuas-puasnya, hamba Abraham mengambil perhiasan emas yang berharga lalu mengenakannya pada hidung gadis itu, dan menyarungkan dua gelang emas pada lengannya.

23 Kemudian hamba itu berkata, “Tolong beritahukan saya siapa bapamu. Adakah tempat bermalam di rumahnya untuk saya dan semua orang saya?”

24 “Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka,” jawab gadis itu.

25 “Di rumah kami ada tempat bermalam untuk tuan dan juga banyak jerami serta makanan ternak.”

26 Kemudian hamba itu berlutut dan menyembah TUHAN.

27 Dia berkata, “Pujilah TUHAN, Allah tuanku Abraham. TUHAN setia dan menepati janji-Nya kepada tuanku Abraham. Dia memimpin aku langsung kepada saudara mara tuanku.”

28 Gadis itu berlari ke rumah ibunya dan menceritakan segala peristiwa itu.

29-30 Ribka mempunyai seorang abang yang bernama Laban. Dia mendengar cerita adiknya tentang apa yang dikatakan hamba itu. Dia juga nampak perhiasan pada hidung adiknya dan gelang pada lengannya. Oleh itu Laban berlari ke luar rumah untuk menemui hamba Abraham yang masih berdiri dekat perigi bersama dengan unta-untanya.

31 Laban berkata, “Tuan orang yang diberkati TUHAN! Janganlah tinggal di luar. Marilah ke rumah kami. Kami sudah menyediakan bilik untuk tuan dan juga tempat bagi unta-unta tuan.”

32 Hamba itu mengikut dia lalu masuk ke dalam rumah. Laban menurunkan beban unta, lalu memberikan jerami dan makanan kepada unta-unta itu. Kemudian dia membawa air pembasuh kaki untuk hamba Abraham dan semua orangnya.

33 Apabila makanan dihidangkan, hamba itu berkata, “Saya tidak akan makan sebelum menyampaikan pesan yang saya bawa.”Laban berkata, “Silakan, katakanlah.”

34 Oleh itu hamba Abraham mulai bercakap, katanya, “Saya ini hamba Abraham.

35 TUHAN sangat memberkati tuan saya dan menjadikan dia kaya raya. TUHAN sudah memberikan kawanan domba, kambing, lembu, unta, keldai, juga perak, emas, serta hamba lelaki, dan hamba perempuan kepadanya.

36 Sara, isteri tuan saya, telah melahirkan seorang anak lelaki ketika umurnya sudah lanjut. Tuan saya sudah mewariskan segala hartanya kepada anaknya itu.

37 Tuan saya menyuruh saya berjanji dengan sumpah supaya mentaati perintahnya. Katanya, ‘Janganlah pilih isteri untuk anakku di kalangan gadis-gadis di tanah Kanaan ini,

38 melainkan di kalangan saudara mara puak bapaku. Pergilah ke sana dengan segera.’

39 Saya bertanya kepada tuan saya, ‘Bagaimana jika gadis itu enggan mengikut saya?’

40 Dia menjawab, ‘TUHAN yang sentiasa kutaati akan mengutus malaikat-Nya untuk menolongmu supaya tugasmu berjaya. Kamu akan mendapatkan isteri untuk anakku daripada puakku sendiri, antara saudara mara bapaku.

41 Hanya apabila mereka tidak menerimamu, barulah kamu bebas daripada sumpahmu.’

42 Ketika saya tiba di perigi hari ini, saya berdoa, ‘Ya TUHAN, Allah tuanku Abraham, tolonglah supaya tugasku berjaya.

43 Aku akan tetap berdiri dekat perigi ini. Apabila seorang gadis datang untuk menimba air, aku akan minta dia memberi aku minum dari buyungnya.

44 Jika dia mahu melakukannya dan menawarkan diri untuk memberi minum kepada unta-untaku, maka dialah yang dipilih oleh TUHAN untuk menjadi isteri anak tuanku itu.’

45 Sebelum saya selesai berdoa di dalam hati, Ribka pun datang sambil membawa buyung di atas bahunya, lalu dia mengambil air dari perigi. Kemudian saya berkata kepadanya, ‘Tolong beri saya minum.’

46 Dengan cepat dia menurunkan buyung dari bahunya dan berkata, ‘Minumlah, dan unta-unta tuan juga akan saya beri minum.’ Lalu saya minum dan setelah itu unta-unta saya juga diberinya minum.

47 Saya bertanya kepadanya, ‘Siapakah bapamu?’ Dia menjawab, ‘Bapa saya Betuel, anak Nahor dan Milka.’ Kemudian saya mengenakan perhiasan emas pada hidungnya dan menyarungkan sepasang gelang pada lengannya.

48 Saya sujud menyembah dan memuji TUHAN, Allah tuan saya Abraham. Dia sudah memimpin saya langsung ke sini, kepada saudara mara tuan saya sehingga saya dapat menemui gadis ini bagi anaknya.

49 Sekarang, jika saudara-saudara bersedia memperlakukan tuan saya dengan baik dan menunaikan tanggungjawab sebagai saudaranya, tolong beritahu saya, tetapi jika tidak, katakanlah juga, supaya saya tahu apa yang harus saya buat.”

50 Laban dan Betuel menjawab, “Oleh sebab perkara ini datang daripada TUHAN, kami tidak patut membuat keputusan.

51 Ini dia Ribka; biarlah dia ikut dengan saudara. Biarlah dia menjadi isteri anak tuan saudara itu, seperti yang difirmankan TUHAN sendiri.”

52 Apabila hamba Abraham mendengar kata-kata itu, dia bersujud dan menyembah TUHAN.

53 Selepas itu dia mengeluarkan pakaian, perhiasan perak dan emas, lalu memberikan semuanya kepada Ribka. Dia juga memberikan hadiah-hadiah yang mahal kepada abang dan ibu Ribka.

54 Kemudian hamba Abraham dan semua orang yang bersama dengan dia makan dan minum, lalu bermalam di sana. Selepas mereka bangun esok paginya, hamba itu berkata, “Izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.”

55 Tetapi ibu dan abang Ribka berkata, “Biarlah Ribka tinggal bersama dengan kami selama seminggu ataupun sepuluh hari lagi, selepas itu bolehlah dia pergi.”

56 Tetapi hamba itu berkata, “Janganlah tahan saya. TUHAN sudah membuat perjalanan saya berhasil; izinkanlah saya pulang kepada tuan saya.”

57 Mereka menjawab, “Marilah kita panggil Ribka dan tanyakan pendapatnya.”

58 Mereka memanggil Ribka dan bertanya, “Mahukah kamu ikut orang ini?”Gadis itu menjawab, “Ya, saya mahu.”

59-60 Oleh itu mereka mengizinkan Ribka dan inang pengasuhnya pergi dengan hamba Abraham dan semua orangnya. Mereka memberkati Ribka dengan kata-kata ini,“Semoga kamu, Ribka, menjadi ibu kepada berjuta-juta orang.Semoga keturunanmu menaklukkan kota-kota musuh mereka.”

61 Kemudian Ribka berserta wanita-wanita muda yang menjadi hambanya bersiap-siap, lalu menunggang unta dan berangkat bersama dengan hamba Abraham.

62 Sementara itu Ishak sudah datang dari perigi yang disebut “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku” dan tinggal di bahagian selatan Kanaan.

63 Pada suatu petang dia keluar dari khemahnya untuk berjalan-jalan di padang, lalu dia nampak unta-unta datang.

64 Apabila Ribka nampak Ishak, dia turun dari untanya,

65 lalu bertanya kepada hamba Abraham, “Siapakah lelaki di padang itu yang datang ke arah kita?”“Dialah tuan saya,” jawab hamba itu. Oleh itu Ribka mengambil selendangnya dan menutupi mukanya.

66 Kemudian hamba itu menceritakan segala yang sudah dilakukannya, kepada Ishak.

67 Ishak membawa Ribka masuk ke dalam khemah mendiang Sara, ibunya, lalu dia memperisteri Ribka. Ishak mencintai Ribka; maka terhiburlah hati Ishak yang sedih kerana kehilangan ibunya.