8 Selepas itu Abram meneruskan perjalanannya ke selatan, ke kawasan berbukit di sebelah timur kota Betel, lalu berkhemah di antara Betel dan kota Ai; Betel di sebelah barat dan Ai di sebelah timur. Di situ juga dia membina sebuah mazbah dan menyembah TUHAN.
9 Kemudian Abram meneruskan perjalanan, dari satu tempat ke tempat berikutnya, menuju ke bahagian selatan tanah Kanaan.
10 Tetapi ada kebuluran yang sangat dahsyat di negeri Kanaan, sehingga Abram pergi lebih jauh lagi ke selatan, ke negeri Mesir, lalu tinggal di sana untuk sementara waktu.
11 Pada masa dia hendak melintasi sempadan negeri Mesir, dia berkata kepada isterinya Sarai, “Engkau perempuan cantik.
12 Apabila orang Mesir nampak engkau, mereka akan berkata, ‘Dia ini isteri Abram’, lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan engkau hidup.
13 Lebih baik engkau katakan saja bahawa engkau adikku supaya aku dibiarkan hidup dan diperlakukan dengan baik kerana engkau.”
14 Setelah Abram melintasi sempadan negeri Mesir, orang Mesir nampak bahawa Sarai sangat cantik.