1 Empat orang raja, iaitu Raja Amrafel dari Babilonia, Raja Ariokh dari Elasar, Raja Kedorlaomer dari Elam, dan Raja Tideal dari Goyim,
2 keluar berperang melawan lima orang raja lain, iaitu Raja Bera dari Sodom, Raja Birsya dari Gomora, Raja Syinab dari Adma, Raja Semeber dari Zeboim, dan raja dari Bela (atau Zoar).
3 Kelima-lima orang raja itu bersekutu lalu mengumpulkan tentera mereka di Lembah Sidim, yang sekarang disebut Laut Mati.
4 Mereka telah ditakluk oleh Raja Kedorlaomer selama dua belas tahun, tetapi pada tahun yang ketiga belas mereka memberontak melawan baginda.
5 Pada tahun keempat belas, Raja Kedorlaomer dan sekutu-sekutunya datang dengan tentera mereka, lalu mengalahkan orang Refaim di Asyterot-Karnaim, orang Zuzim di Ham, orang Emim di dataran Kiryataim,
6 dan orang Hori di pergunungan Edom, lalu mengejar mereka sejauh El-Paran di pinggir padang gurun.
7 Kemudian raja-raja itu berpatah balik dan kembali ke En-Mispat yang sekarang disebut Kades. Mereka menaklukkan seluruh tanah orang Amalek dan mengalahkan orang Amori yang tinggal di Hazezon-Tamar.