Kejadian 18:24-30 BM

24 Jika terdapat lima puluh orang yang tidak bersalah di dalam kota itu, adakah Engkau akan memusnahkan seluruh kota itu? Tidakkah Engkau mahu mengampuninya untuk menyelamatkan yang lima puluh orang itu?

25 Tentu Engkau tidak mahu membunuh orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah. Tentu tidak! Engkau tidak mungkin berbuat demikian. Jika Engkau berbuat demikian, orang yang tidak bersalah akan dihukum bersama dengan orang yang bersalah. Itu tidak mungkin. Hakim bagi seluruh bumi tentu bertindak dengan adil.”

26 TUHAN menjawab, “Jika Aku mendapati lima puluh orang yang tidak bersalah di Sodom, Aku akan mengampuni seluruh kota itu kerana mereka.”

27 Abraham berkata lagi, “Ampunkanlah kelancanganku kerana tidak henti-henti bercakap kepada-Mu, ya Tuhan. Aku ini hanya manusia dan tidak berhak untuk mengatakan apa-apa pun.

28 Tetapi mungkin hanya terdapat empat puluh lima orang yang tidak bersalah, dan bukan lima puluh orang. Adakah Engkau memusnahkan seluruh kota itu disebabkan kurang hanya lima orang?”TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkan kota itu jika Aku mendapati empat puluh lima orang yang tidak bersalah.”

29 Abraham berkata lagi, “Mungkin hanya terdapat empat puluh orang.”TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkannya jika Aku mendapati empat puluh orang.”

30 Abraham berkata, “Ya Tuhan, janganlah murka jika aku bercakap lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya tiga puluh orang?”TUHAN berfirman, “Aku tidak akan melakukannya jika Aku mendapati tiga puluh orang.”