9 Kemudian Raja Abimelekh memanggil Abraham dan bertanya, “Apakah yang sudah kamu lakukan terhadap kami? Apakah kesalahan yang sudah beta lakukan terhadapmu, yang menyebabkan kamu mendatangkan bencana ini kepada beta dan kerajaan beta? Tidak patut kamu berbuat demikian kepada beta.
10 Mengapa kamu melakukannya?”
11 Abraham menjawab, “Hamba berfikir bahawa di sini tiada sesiapa pun yang takut kepada Allah, sehingga hamba akan dibunuh oleh orang yang menginginkan isteri hamba.
12 Sebenarnya, dia memang adik hamba. Kami satu bapa tetapi berlainan ibu; kemudian kami berkahwin.
13 Oleh itu, apabila Allah menyuruh hamba keluar dari rumah bapa hamba, lalu mengembara ke negeri asing, hamba berkata kepada isteri hamba, ‘Tunjukkanlah kesetiaanmu kepadaku dengan berkata kepada setiap orang bahawa aku ini abangmu.’ ”
14 Selepas itu Raja Abimelekh mengembalikan Sara kepada Abraham, dan pada masa itu juga dia memberikan hamba, domba, dan lembu kepada Abraham.
15 Raja itu bertitah kepada Abraham, “Inilah seluruh negeri beta; tinggallah di mana saja kamu kehendaki.”