14 Laban berkata, “Ya, memang kamu sedarah dengan aku.”Maka Yakub tinggal di situ selama satu bulan.
15 Laban berkata kepada Yakub, “Kamu tidak seharusnya bekerja untukku tanpa mendapat apa-apa, hanya kerana kamu saudaraku. Berapakah gaji yang kamu mahu?”
16 Laban mempunyai dua orang anak perempuan; yang sulung bernama Lea dan yang bongsu bernama Rahel.
17 Lea mempunyai mata yang cantik; Rahel pula mempunyai bentuk badan yang menarik dan wajah yang jelita.
18 Yakub jatuh cinta dengan Rahel. Oleh itu dia berkata, “Saya akan bekerja selama tujuh tahun untuk pak cik, jika pak cik membenarkan saya berkahwin dengan Rahel.”
19 Laban menjawab, “Aku lebih suka dia menjadi isterimu daripada isteri orang lain; tinggallah di sini bersama dengan aku.”
20 Yakub bekerja selama tujuh tahun untuk mendapat Rahel. Bagi Yakub tahun-tahun itu berlalu seperti beberapa hari sahaja kerana dia mencintai Rahel.