10 Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.”
11 “Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.”
12 Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.”
13 TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?”Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.”
14 Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, “Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu.
15 Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka.”
16 TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya.”