6 Perempuan itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya enak dimakan. Dia berfikir betapa baiknya jika dia menjadi bijaksana. Oleh itu dia memetik buah pokok itu dan memakannya. Dia juga memberikan buah pokok itu kepada suaminya, dan suaminya pun makan buah itu.
7 Sebaik sahaja mereka makan buah itu, fikiran mereka terbuka dan mereka sedar bahawa mereka bertelanjang. Oleh itu mereka merangkaikan daun ara, lalu menutupi tubuh mereka dengan rangkaian daun itu.
8 Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya.
9 Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, “Di manakah engkau?”
10 Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.”
11 “Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.”
12 Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.”