30 Sebelum saya datang, harta milik pak cik tidak seberapa, tetapi sekarang pak cik sudah kaya. TUHAN sudah memberkati pak cik kerana saya. Sekarang sudah masanya saya bekerja untuk keluarga saya sendiri.”
31 Laban berkata, “Jika demikian apa yang harus aku berikan kepadamu?”Yakub menjawab, “Tidak usah pak cik berikan apa-apa. Saya akan tetap memelihara ternakan pak cik, asal pak cik setuju dengan cadangan saya ini.
32 Izinkan saya berjalan antara semua kawanan kambing dan domba pak cik pada hari ini, dan mengambil setiap anak domba yang hitam, dan juga setiap kambing muda yang belang atau berbintik-bintik. Itu saja upah yang saya minta.
33 Pada masa yang akan datang pak cik akan tahu dengan mudah sama ada saya berlaku jujur atau tidak. Manakala pak cik datang untuk memeriksa ternakan yang menjadi upah saya, dan nampak bahawa ada kambing yang tidak berbintik-bintik atau belang, atau domba yang tidak hitam, pak cik akan tahu bahawa binatang itu telah saya curi.”
34 Laban menjawab, “Aku setuju! Kita akan melakukan apa yang kamu cadangkan itu!”
35 Tetapi pada hari itu Laban memisahkan semua kambing jantan yang loreng atau belang dan semua kambing betina yang belang, berbintik-bintik, atau yang bernoda putih. Dia juga memisahkan semua domba yang hitam. Kemudian dia menyuruh anak-anak lelakinya mengurus ternakan itu.
36 Anak-anak Laban itu pergi menjauhi Yakub dengan menggiring semua ternakan itu sejauh tiga hari perjalanan. Kawanan kambing dan domba yang tinggal dipelihara oleh Yakub.