Kejadian 31:32-38 BM

32 Tentang patung itu, jika pak cik menjumpai orang yang telah mencurinya, dia akan dihukum mati. Periksalah, sama ada barang-barang kepunyaan pak cik ada di sini. Jika ada, sila ambil. Semua orang kita boleh menyaksikannya.” Yakub tidak tahu bahawa patung itu dicuri oleh Rahel.

33 Laban pergi ke khemah Yakub dan menggeledahnya; sesudah itu dia ke khemah Lea dan ke khemah kedua-dua orang hamba perempuan itu, tetapi patung itu tidak didapatinya. Akhirnya, Laban masuk ke dalam khemah Rahel.

34 Tetapi Rahel telah mengambil patung itu dan memasukkannya ke dalam kantung pelana unta, dan Rahel duduk di atas pelana itu. Laban menggeledah seluruh khemah Rahel, tetapi tidak berjaya menjumpai patung itu.

35 Kemudian Rahel berkata kepada bapanya, “Janganlah marah ayah; saya tidak dapat berdiri menyambut ayah kerana saya sedang datang bulan.” Laban mencari patung itu dengan teliti, tetapi tidak menjumpainya.

36 Selepas itu Yakub marah. “Kejahatan apakah yang telah saya lakukan?” tanyanya dengan geram. “Apakah salah saya sehingga pak cik mengejar saya?

37 Sekarang, setelah menggeledah segala barang saya, adakah pak cik menjumpai barang kepunyaan pak cik? Keluarkan dan letakkan barang itu di sini, supaya semua orang saya dan orang pak cik dapat melihatnya. Biarlah mereka buat keputusan siapa antara kita yang benar.

38 Saya telah tinggal bersama dengan pak cik selama dua puluh tahun. Kawanan domba dan kambing pak cik berkembang biak dengan baik, dan belum pernah saya makan seekor kambing jantan pun daripada ternakan pak cik.