33 Laban pergi ke khemah Yakub dan menggeledahnya; sesudah itu dia ke khemah Lea dan ke khemah kedua-dua orang hamba perempuan itu, tetapi patung itu tidak didapatinya. Akhirnya, Laban masuk ke dalam khemah Rahel.
34 Tetapi Rahel telah mengambil patung itu dan memasukkannya ke dalam kantung pelana unta, dan Rahel duduk di atas pelana itu. Laban menggeledah seluruh khemah Rahel, tetapi tidak berjaya menjumpai patung itu.
35 Kemudian Rahel berkata kepada bapanya, “Janganlah marah ayah; saya tidak dapat berdiri menyambut ayah kerana saya sedang datang bulan.” Laban mencari patung itu dengan teliti, tetapi tidak menjumpainya.
36 Selepas itu Yakub marah. “Kejahatan apakah yang telah saya lakukan?” tanyanya dengan geram. “Apakah salah saya sehingga pak cik mengejar saya?
37 Sekarang, setelah menggeledah segala barang saya, adakah pak cik menjumpai barang kepunyaan pak cik? Keluarkan dan letakkan barang itu di sini, supaya semua orang saya dan orang pak cik dapat melihatnya. Biarlah mereka buat keputusan siapa antara kita yang benar.
38 Saya telah tinggal bersama dengan pak cik selama dua puluh tahun. Kawanan domba dan kambing pak cik berkembang biak dengan baik, dan belum pernah saya makan seekor kambing jantan pun daripada ternakan pak cik.
39 Ternakan yang mati diterkam binatang buas tidak pernah saya bawa kepada pak cik, tetapi saya sendirilah yang menggantinya. Ternakan yang dicuri pada waktu siang mahupun malam selalu pak cik tuntut supaya saya menggantinya.