Kejadian 32:13-15-22 BM

13-15 Setelah bermalam di situ, Yakub mengambil sebilangan daripada binatang ternakannya untuk dihadiahkan kepada Esau. Hadiah itu berupa: 200 ekor kambing betina, 20 ekor kambing jantan, 200 ekor domba betina, 20 ekor domba jantan, 30 ekor unta yang sedang menyusui anak unta, 40 ekor lembu betina, 10 ekor lembu jantan, 20 ekor keldai betina, dan 10 ekor keldai jantan.

16 Semua binatang itu dibahaginya menjadi beberapa kawanan, lalu setiap kawanan diserahkannya kepada seorang hamba. Dia berkata kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku, dan pastikan ada jarak di antara kawanan yang satu dengan kawanan yang berikutnya.”

17 Yakub memberikan arahan kepada hamba yang pertama, “Jika abangku Esau bertemu denganmu, dan bertanya, ‘Siapakah tuanmu? Hendak ke mana? Siapakah pemilik ternakan yang kamu giring itu?’

18 Jawablah, ‘Milik Yakub, hamba tuan. Dia mengirim kawanan ini sebagai hadiah kepada Esau, tuannya. Yakub, hamba tuan, sedang menyusul kami.’ ”

19-20 Yakub memberikan arahan yang sama kepada hambanya yang kedua, ketiga, dan semua orang yang ditugaskan untuk mengurus segala kawanan binatang itu. Yakub berfikir bahawa dia dapat membujuk Esau dengan hadiah-hadiah itu, dan apabila bertemu nanti, Esau mungkin akan memaafkan dia.

21 Oleh itu dia mengirimkan hadiah-hadiah itu lebih dahulu, sedangkan dia sendiri bermalam di perkhemahan.

22 Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok.