17 Yakub memberikan arahan kepada hamba yang pertama, “Jika abangku Esau bertemu denganmu, dan bertanya, ‘Siapakah tuanmu? Hendak ke mana? Siapakah pemilik ternakan yang kamu giring itu?’
18 Jawablah, ‘Milik Yakub, hamba tuan. Dia mengirim kawanan ini sebagai hadiah kepada Esau, tuannya. Yakub, hamba tuan, sedang menyusul kami.’ ”
19-20 Yakub memberikan arahan yang sama kepada hambanya yang kedua, ketiga, dan semua orang yang ditugaskan untuk mengurus segala kawanan binatang itu. Yakub berfikir bahawa dia dapat membujuk Esau dengan hadiah-hadiah itu, dan apabila bertemu nanti, Esau mungkin akan memaafkan dia.
21 Oleh itu dia mengirimkan hadiah-hadiah itu lebih dahulu, sedangkan dia sendiri bermalam di perkhemahan.
22 Pada malam itu juga Yakub bangun lalu membawa dua orang isterinya, dua orang gundiknya dan sebelas orang anaknya, menyeberang Sungai Yabok.
23 Setelah Yakub menyeberangkan mereka, dia kembali dan mengirim juga segala miliknya ke seberang.
24 Tetapi dia tinggal di situ seorang diri.Kemudian datanglah seorang lelaki bergomol dengan Yakub sampai menjelang pagi.