8 Dia berfikir, “Jika Esau datang dan menyerang kumpulan yang pertama, kumpulan yang kedua mungkin sempat menyelamatkan diri.”
9 Kemudian Yakub berdoa, “Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham dan bapaku Ishak, dengarlah aku! TUHAN sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku. Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku.
10 Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku, hamba-Mu. Pada masa aku berangkat menyeberangi Sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat. Sekarang aku datang kembali bersama dengan dua kumpulan ini.
11 Aku mohon, selamatkanlah aku daripada abangku, Esau. Aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua, termasuk wanita serta anak-anak.
12 Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberikan banyak keturunan kepadaku. Bilangan mereka akan sebanyak pasir di pantai, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka.”
13-15 Setelah bermalam di situ, Yakub mengambil sebilangan daripada binatang ternakannya untuk dihadiahkan kepada Esau. Hadiah itu berupa: 200 ekor kambing betina, 20 ekor kambing jantan, 200 ekor domba betina, 20 ekor domba jantan, 30 ekor unta yang sedang menyusui anak unta, 40 ekor lembu betina, 10 ekor lembu jantan, 20 ekor keldai betina, dan 10 ekor keldai jantan.
16 Semua binatang itu dibahaginya menjadi beberapa kawanan, lalu setiap kawanan diserahkannya kepada seorang hamba. Dia berkata kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku, dan pastikan ada jarak di antara kawanan yang satu dengan kawanan yang berikutnya.”