10 Dengan demikian tuan boleh tinggal bersama dengan kami di negeri ini, di mana sahaja tuan suka. Tuan boleh berdagang dengan bebas dan memiliki harta benda.”
11 Kemudian Sikhem berkata kepada bapa Dina serta abang-abangnya, “Penuhilah permintaan saya ini, maka saya akan memberikan apa yang saudara-saudara mahu.
12 Katakanlah hadiah apa yang saudara-saudara inginkan, dan tentukanlah mas kahwinnya. Saya akan memberikan apa yang saudara-saudara minta, asal sahaja saudara-saudara membenarkan saya berkahwin dengan gadis itu.”
13 Oleh sebab Sikhem sudah mencabul kehormatan Dina, adik mereka, anak-anak lelaki Yakub berbohong kepada Sikhem dan Hamor, bapanya.
14 Mereka berkata kepada kedua-dua orang itu, “Kami malu membenarkan adik kami berkahwin dengan orang yang tidak bersunat.
15 Kami hanya dapat menyetujui permintaanmu itu dengan satu syarat: kamu mesti menjadi seperti kami; semua orang lelaki di kalangan kamu mesti disunat.
16 Setelah itu, kami akan menyetujui cadangan kamu tentang kahwin campur. Kami akan tinggal bersama dengan kamu, dan menjadi satu bangsa dengan kamu.