25 Tiga hari kemudian, ketika semua orang lelaki masih kesakitan kerana disunat, dua orang anak Yakub, iaitu abang Dina yang bernama Simeon dan Lewi, mengambil pedang mereka lalu dengan diam-diam masuk ke dalam kota. Mereka membunuh semua orang lelaki di situ,
26 termasuk Hamor dan Sikhem. Kemudian mereka mengambil Dina dari rumah Sikhem, lalu pergi.
27 Setelah pembunuhan itu, anak-anak lelaki Yakub yang lain merompak kota itu untuk membalas dendam kerana adik mereka sudah dicabul kehormatannya.
28 Mereka merampas kawanan kambing dan domba, lembu, keldai dan segala yang ada di dalam kota dan di padang.
29 Mereka mengambil segala barang yang berharga, menawan semua wanita dan anak-anak, serta merampas segala isi rumah di kota itu.
30 Yakub berkata kepada Simeon dan Lewi, “Kamu menyusahkan aku. Sekarang orang Kanaan dan orang Feris serta semua penduduk negeri ini akan membenci aku. Orang kita tidak banyak; jika semua penduduk itu bersekutu untuk melawan dan menyerang aku, seluruh keluarga kita akan dibinasakan.”
31 Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dapat membiarkan adik kami diperlakukan sebagai seorang pelacur.”