7 Pada masa itu juga anak-anak lelaki Yakub pulang dari padang. Setelah mendengar peristiwa itu, mereka terkejut dan sangat marah kerana dengan merogol anak perempuan Yakub, Sikhem sudah menghina semua orang Israel.
8 Hamor berkata kepada Yakub, “Sikhem, anak saya sudah jatuh cinta kepada anak perempuan tuan; saya mohon supaya tuan mengizinkan anak saya berkahwin dengan dia.
9 Marilah kita membuat persetujuan bahawa bangsa tuan dan bangsa kami kahwin campur.
10 Dengan demikian tuan boleh tinggal bersama dengan kami di negeri ini, di mana sahaja tuan suka. Tuan boleh berdagang dengan bebas dan memiliki harta benda.”
11 Kemudian Sikhem berkata kepada bapa Dina serta abang-abangnya, “Penuhilah permintaan saya ini, maka saya akan memberikan apa yang saudara-saudara mahu.
12 Katakanlah hadiah apa yang saudara-saudara inginkan, dan tentukanlah mas kahwinnya. Saya akan memberikan apa yang saudara-saudara minta, asal sahaja saudara-saudara membenarkan saya berkahwin dengan gadis itu.”
13 Oleh sebab Sikhem sudah mencabul kehormatan Dina, adik mereka, anak-anak lelaki Yakub berbohong kepada Sikhem dan Hamor, bapanya.