1 Pada suatu hari Allah berfirman kepada Yakub, “Akulah Allah yang menampakkan diri kepadamu ketika engkau lari daripada abangmu, Esau. Pergilah ke Betel dengan segera. Tinggallah di sana dan binalah sebuah mazbah bagi-Ku.”
2-3 Kemudian Yakub berkata kepada keluarganya dan kepada semua orang yang ada bersama dengan dia, “Kita akan berangkat dari sini dan pergi ke Betel. Di sana aku akan membina sebuah mazbah bagi Allah yang telah menolong aku pada masa kesukaran, dan yang menyertai aku ke mana sahaja aku pergi. Buanglah patung dewa-dewa asing yang ada pada kamu; lakukanlah upacara penyucian diri dan pakailah pakaian yang bersih.”
4 Maka mereka menyerahkan semua patung dewa asing yang ada pada mereka dan juga anting-anting yang dipakai mereka, kepada Yakub. Semua benda itu ditanam oleh Yakub di bawah pokok besar dekat kota Sikhem.
5 Pada masa Yakub dan keluarganya berangkat, Allah meliputi penduduk kota-kota di sekitar mereka dengan rasa takut, sehingga mereka tidak mengejar Yakub dan keluarganya.
6 Kemudian mereka sampai di tanah Kanaan, di kota Betel yang dahulu bernama Lus.
7 Di situ Yakub membina sebuah mazbah dan menamakan tempat itu Allah Betel, kerana Allah telah menampakkan diri kepadanya di situ ketika dia lari daripada abangnya.
8 Debora, inang pengasuh Ribka, meninggal di tempat itu. Dia dikuburkan di bawah pokok besar di sebelah selatan kota itu. Itulah sebabnya pokok itu dinamakan “Pokok Besar Tangisan”.