22 “Campakkan dia ke dalam perigi di padang gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Ruben berkata begitu kerana dia bermaksud menyelamatkan Yusuf dan menyuruh dia pulang kepada bapanya.
23 Apabila Yusuf sampai kepada saudara-saudaranya, dengan kasar mereka menanggalkan jubah Yusuf yang sangat cantik itu.
24 Kemudian mereka menyeret Yusuf dan mencampakkan dia ke dalam perigi yang kering.
25 Ketika mereka sedang makan, tiba-tiba mereka nampak kafilah orang Ismael dari Gilead yang sedang dalam perjalanan ke Mesir. Unta-unta mereka mengangkut rempah-rempah dan damar.
26 Yehuda berkata kepada saudara-saudaranya, “Apakah keuntungannya membunuh adik kita dan merahsiakan pembunuhan itu?
27 Mari kita jual dia kepada orang Ismael itu. Tidak usah kita sakiti dia. Bagaimanapun dia tetap adik kita.” Saudara-saudaranya bersetuju.
28 Apabila beberapa orang pedagang Midian lalu, Yusuf dikeluarkan oleh saudara-saudaranya dari perigi. Kemudian mereka menjual dia kepada orang Ismael itu dengan harga dua puluh keping wang perak. Yusuf dibawa oleh pedagang-pedagang itu ke Mesir.