11 Kemudian Yehuda berkata kepada Tamar, menantunya, “Baliklah ke rumah bapamu dan tinggallah di situ sebagai balu sehingga anakku Syela dewasa.” Yehuda berkata demikian kerana takut jangan-jangan Syela akan dibunuh juga, seperti kedua-dua orang abangnya. Oleh itu Tamar pulang ke rumah bapanya.
12 Beberapa lama kemudian isteri Yehuda meninggal. Apabila masa berkabung berakhir, Yehuda mengajak Hira, temannya dari Adulam itu, pergi ke Timna, tempat menggunting bulu dombanya.
13 Tamar mendapat khabar bahawa Yehuda, bapa mentuanya akan datang ke Timna untuk menggunting bulu dombanya.
14 Oleh itu Tamar mengganti pakaian balunya dengan pakaian lain. Dia menutup mukanya dengan sehelai tudung, lalu duduk di pintu gerbang kota Enaim, yang terletak di jalan menuju ke Timna. Tamar tahu bahawa Syela, anak Yehuda yang bongsu sudah dewasa, tetapi dia belum juga dikahwinkan dengan pemuda itu.
15 Apabila Yehuda melihat Tamar, dia menyangka perempuan itu seorang pelacur kerana mukanya bertudung.
16 Oleh itu Yehuda menghampirinya di pinggir jalan dan berkata, “Berapakah yang kamu minta?” Dia tidak tahu perempuan itu menantunya sendiri.Tamar menjawab, “Apakah yang tuan mahu berikan?”
17 Yehuda berkata lagi, “Aku akan memberikan seekor kambing muda kepadamu.”Tamar menjawab, “Boleh, asal tuan memberi saya cagaran sehingga tuan mengirimkan kambing itu.”