1 Yusuf telah dibawa ke Mesir oleh orang Ismael, lalu dijual kepada Potifar, seorang pegawai raja yang menjadi ketua pengawal istana.
2 TUHAN menolong Yusuf sehingga dia selalu berjaya dalam segala pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu.
3 Tuannya melihat bahawa TUHAN menolong Yusuf dan memberi dia kejayaan dalam segala yang dilakukannya.
4 Potifar suka kepada Yusuf dan melantik dia sebagai pelayan peribadinya; lalu Potifar memberikan tugas kepada Yusuf untuk mengurus rumah tangganya dan segala kepunyaannya.
5 Sejak itu, demi Yusuf, TUHAN memberkati rumah tangga orang Mesir itu dan segala sesuatu yang dimilikinya, baik yang di rumah mahupun yang di ladang.
6 Segala sesuatu yang dimiliki Potifar dipercayakannya kepada Yusuf. Dengan demikian Potifar sama sekali tidak risau tentang urusan rumahnya, kecuali makanannya.Yusuf berbadan segak dan kacak.
7 Beberapa lama kemudian, isteri Potifar mula berahi terhadap Yusuf. Lalu dia mengajak pemuda itu tidur bersama dengan dia.