28 “Wang aku dikembalikan,” serunya kepada saudara-saudaranya. “Tengoklah, wang ada di dalam karungku!” Hati mereka berdebar-debar, dan dengan takut mereka saling bertanya, “Apakah yang dilakukan Allah kepada kita?”
29 Apabila mereka sampai di Kanaan, mereka menceritakan segala sesuatu yang dialami mereka, kepada bapa mereka. Mereka berkata,
30 “Gabenor Mesir bercakap kasar kepada kami dan menuduh kami mengintip negerinya.
31 Kami menjawab, ‘Kami orang jujur, bukan pengintip.
32 Kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, tetapi seorang sudah meninggal, dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan.’
33 Gabenor itu berkata, ‘Aku mahu menguji kamu untuk mengetahui sama ada kamu jujur. Seorang daripada kamu harus tinggal, tetapi yang lain boleh pulang dan membawa gandum kepada keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran.
34 Apabila kamu datang ke sini lagi, bawalah adik bongsu kamu. Dengan demikian aku akan tahu bahawa kamu bukan pengintip, melainkan orang jujur. Saudara kamu yang aku tahan itu akan kukembalikan kepada kamu, lalu kamu boleh tinggal di negeri ini dan bebas berdagang.’ ”