4 Tetapi Yakub tidak membenarkan Benyamin, adik kandung Yusuf, pergi bersama dengan mereka, kerana Yakub takut jangan-jangan terjadi sesuatu kecelakaan kepada anaknya itu.
5 Anak-anak Yakub bersama dengan orang lain datang membeli gandum di Mesir, kerana ada kebuluran di negeri Kanaan.
6 Yusuf, sebagai gabenor di Mesir, menjual gandum kepada orang dari seluruh dunia. Oleh itu saudara-saudara Yusuf datang dan sujud di hadapannya.
7 Apabila Yusuf nampak saudara-saudaranya, dia mengenali mereka tetapi dia pura-pura tidak kenal. Dengan kasar dia bertanya kepada mereka, “Kamu dari mana?”Mereka menjawab, “Kami dari Kanaan. Kami datang untuk membeli makanan.”
8 Meskipun Yusuf mengenali abang-abangnya, mereka tidak mengenali dia.
9 Kemudian dia teringat akan mimpi-mimpinya tentang mereka, lalu dia berkata, “Kamu ini pengintip; kamu datang untuk menyiasat kelemahan negeri kami.”
10 Mereka menjawab, “Tidak, tuan. Kami, hamba-hamba tuan, datang hanya untuk membeli makanan.