18 Ketika mereka dibawa ke dalam rumah Yusuf, mereka takut dan berfikir, “Kita dibawa ke sini kerana wang yang di dalam karung kita pada masa kita datang ke sini dahulu. Mereka akan menangkap kita dengan tiba-tiba, lalu mengambil keldai kita dan menjadikan kita abdi.”
19 Oleh itu, di pintu rumah Yusuf, mereka berkata kepada pengurus rumah tangga itu,
20 “Tuan, kami pernah datang ke sini untuk membeli makanan.
21-22 Dalam perjalanan pulang, ketika kami hendak bermalam, kami membuka karung kami lalu nampak semua wang pembayaran gandum kami di atas gandum. Kami tidak tahu siapa yang memasukkan wang itu. Sekarang kami membawanya kembali kepada tuan. Selain itu kami ada membawa wang lebih untuk membeli makanan lagi.”
23 Dia menjawab, “Jangan takut. Jangan khuatir. Allah kamu, yang disembah bapa kamu, sudah memasukkan wang itu ke dalam karung kamu. Aku sudah menerima pembayaran kamu untuk gandum itu.” Kemudian dia membawa Simeon kepada mereka.
24 Lalu dia menghantar mereka ke dalam rumah. Dia memberikan air kepada mereka untuk membasuh kaki, dan juga makanan untuk keldai mereka.
25 Selepas itu mereka menyediakan hadiah untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan bersama dengan Yusuf.