8 Oleh itu Yehuda berkata kepada bapanya, “Benarkanlah anak itu ikut dengan saya. Kami akan berangkat dengan segera supaya tiada seorang pun antara kita mati kebuluran.
9 Sayalah penjaminnya. Ayah boleh mempertanggungjawabkan Benyamin kepada saya. Jika saya tidak membawa dia kembali dengan selamat, saya akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya.
10 Seandainya kita tidak menunggu begitu lama, pasti kami telah dua kali pulang-balik.”
11 Kemudian bapa mereka berkata, “Jika memang harus begitu, bawalah hasil yang terbaik dari negeri ini. Masukkanlah semuanya ke dalam karung kamu dan hadiahkanlah kepada gabenor itu. Bawalah damar, madu, rempah ratus, kacang pistasio, dan buah badam.
12 Bawalah juga wang dua kali ganda, kerana wang yang ditemukan di dalam karung kamu itu mesti dikembalikan. Mungkin itu suatu kesilapan.
13 Bawalah juga adik kamu dan kembalilah dengan segera.
14 Semoga Allah Yang Maha Kuasa membuat gabenor itu kasihan kepada kamu, sehingga dia mahu mengembalikan Benyamin dan Simeon. Bagi aku, jika memang aku harus kehilangan anak-anakku, apa boleh buat.”