13 Abang-abang Benyamin sangat sedih sehingga mereka mengoyakkan pakaian. Mereka memuati semula keldai lalu kembali ke kota.
14 Yusuf masih ada di rumah apabila Yehuda dan saudara-saudaranya sampai. Mereka bersujud di hadapannya,
15 lalu Yusuf berkata, “Apakah yang sudah kamu lakukan? Tidak tahukah kamu bahawa orang seperti aku ini pandai meramal dan dapat mengetahui perbuatan kamu?”
16 Yehuda menjawab, “Apakah yang dapat kami katakan, tuan? Bagaimana kami dapat membantah dan membela diri? Allah sudah mendedahkan kesalahan kami. Sekarang kami semua menjadi abdi tuan, dan bukan hanya orang yang didapati mempunyai piala itu.”
17 Yusuf berkata, “Tidak! Aku tidak mahu berbuat begitu! Hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku. Kamu yang lain boleh pulang dengan selamat kepada bapa kamu.”
18 Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Tolonglah, tuan. Benarkanlah saya berkata lagi. Janganlah marah kepada saya; tuan seperti raja Mesir sendiri.
19 Tuan sudah bertanya kepada kami, ‘Adakah kamu masih mempunyai bapa atau adik lelaki lain?’