16 Yehuda menjawab, “Apakah yang dapat kami katakan, tuan? Bagaimana kami dapat membantah dan membela diri? Allah sudah mendedahkan kesalahan kami. Sekarang kami semua menjadi abdi tuan, dan bukan hanya orang yang didapati mempunyai piala itu.”
17 Yusuf berkata, “Tidak! Aku tidak mahu berbuat begitu! Hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku. Kamu yang lain boleh pulang dengan selamat kepada bapa kamu.”
18 Yehuda maju mendekati Yusuf dan berkata, “Tolonglah, tuan. Benarkanlah saya berkata lagi. Janganlah marah kepada saya; tuan seperti raja Mesir sendiri.
19 Tuan sudah bertanya kepada kami, ‘Adakah kamu masih mempunyai bapa atau adik lelaki lain?’
20 Kami menjawab, ‘Bapa kami sudah tua dan adik kami dilahirkan ketika bapa kami telah lanjut usia. Abang seibu adik kami itu sudah meninggal, lalu sekarang hanya dia yang masih hidup, dan ayah sangat menyayangi dia.’
21 Tuan menyuruh kami membawa dia ke sini supaya tuan dapat melihatnya,
22 lalu kami menjawab bahawa anak itu tidak dapat berpisah daripada bapanya; jika dia berpisah daripadanya, bapanya akan meninggal.