27 Kemudian bapa kami berkata, ‘Kamu tahu bahawa isteriku Rahel, hanya mempunyai dua orang anak lelaki.
28 Seorang sudah meninggalkan aku. Dia tentu telah diterkam binatang buas, kerana sejak itu aku tidak bertemu dengan dia lagi.
29 Jika kamu mengambil anak bongsu ini daripadaku, dan sekiranya ada sesuatu perkara berlaku kepadanya, kesedihan yang kamu datangkan kepadaku itu akan mengakibatkan kematianku, kerana aku sudah tua.’ ”
30-31 Yehuda berkata kepada Yusuf, “Oleh itu, jika saya kembali kepada bapa saya tanpa anak itu, tentu bapa saya akan meninggal. Nyawanya bergantung kepada anak itu, dan dia sudah sangat tua sehingga kesedihan yang kami datangkan kepadanya akan mengakibatkan kematiannya.
32 Lagipun, saya sudah berjanji kepada bapa saya bahawa saya akan menjadi penjamin anak itu. Saya berkata kepadanya bahawa jika saya tidak membawa anak itu kembali kepadanya, sayalah yang akan menanggung kesalahan itu selama-lamanya.
33 Oleh itu, saya mohon supaya dibenarkan tinggal di sini sebagai abdi tuan untuk menggantikan anak ini. Biarlah dia pulang bersama dengan abang-abangnya.
34 Bagaimanakah saya dapat balik kepada bapa saya jika anak itu tidak bersama dengan saya? Saya tidak sanggup melihat malapetaka itu menimpa bapa saya.”