3 Awal pagi esoknya, saudara-saudara itu berangkat pulang dengan keldai mereka.
4 Setelah mereka pergi tidak berapa jauh dari kota itu, Yusuf berkata kepada pengurus rumah tangganya, “Cepatlah kejar mereka. Setelah kamu menyusul mereka, katakan kepada mereka, ‘Mengapa kamu membalas kebaikan dengan kejahatan?
5 Mengapa kamu mencuri piala perak tuanku? Piala itu dipakainya untuk minum dan sebagai alat meramal. Kamu sudah melakukan jenayah besar!’ ”
6 Apabila hamba itu sampai kepada saudara-saudara Yusuf, dia mengatakan apa yang diperintahkan Yusuf.
7 Mereka menjawab hamba itu, “Apakah maksud tuan? Kami bersumpah tidak berbuat begitu!
8 Tuan pun tahu bahawa wang yang kami dapati di atas gandum di dalam karung kami, sudah kami bawa dari tanah Kanaan dan kami kembalikan kepada tuan. Oleh itu tidak mungkin kami mencuri perak atau emas dari rumah gabenor!
9 Tuan, sekiranya salah seorang daripada kami didapati mempunyai benda itu, biarlah dia dihukum mati dan kami semua menjadi abdi tuan.”