6 Apabila hamba itu sampai kepada saudara-saudara Yusuf, dia mengatakan apa yang diperintahkan Yusuf.
7 Mereka menjawab hamba itu, “Apakah maksud tuan? Kami bersumpah tidak berbuat begitu!
8 Tuan pun tahu bahawa wang yang kami dapati di atas gandum di dalam karung kami, sudah kami bawa dari tanah Kanaan dan kami kembalikan kepada tuan. Oleh itu tidak mungkin kami mencuri perak atau emas dari rumah gabenor!
9 Tuan, sekiranya salah seorang daripada kami didapati mempunyai benda itu, biarlah dia dihukum mati dan kami semua menjadi abdi tuan.”
10 Hamba itu berkata, “Baiklah, tetapi hanya orang yang didapati mempunyai piala itu akan menjadi abdiku; yang lain boleh pergi.”
11 Oleh itu dengan cepat mereka menurunkan dan membuka karung masing-masing.
12 Hamba Yusuf itu memeriksa karung-karung itu dengan teliti, mulai dari karung kepunyaan yang sulung sampai kepada karung kepunyaan yang bongsu. Piala itu didapati di dalam karung Benyamin.