10 Ayah dapat tinggal di daerah Gosyen, berhampiran dengan saya – ayah, bersama dengan anak cucu, domba, kambing, lembu, dan segala kepunyaan ayah.
11 Jika ayah berada di Gosyen, saya dapat menjaga ayah. Kebuluran masih akan berlaku lima tahun lagi, dan akan saya usahakan agar ayah, keluarga, serta ternakan ayah tidak kekurangan apa-apa pun.’ ”
12 Yusuf berkata lagi, “Sekarang kamu nampak sendiri, termasuk engkau Benyamin, bahawa aku benar-benar Yusuf.
13 Katakanlah kepada ayah kita betapa besarnya kuasaku di sini, di Mesir, dan ceritakanlah segala yang sudah kamu nampak kepadanya. Bawalah dia ke sini dengan segera.”
14 Yusuf memeluk adiknya Benyamin dan menangis. Benyamin juga menangis sambil memeluk abangnya.
15 Kemudian sambil menangis, Yusuf memeluk semua saudaranya dan mencium mereka. Selepas itu mereka mula bercakap-cakap dengan dia.
16 Apabila berita kedatangan saudara-saudara Yusuf sampai di istana raja, raja dan para pegawainya pun senang hati.