11 Yusuf membantu bapa dan saudara-saudaranya menetap di Mesir. Dia memberi mereka tanah sebagai hak milik di kawasan yang terbaik di negeri itu, dekat kota Rameses, sebagaimana yang diperintahkan raja.
12 Yusuf menyediakan makanan bagi bapanya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya, termasuk yang paling muda.
13 Kebuluran sangat dahsyat sehingga tiada lagi makanan di mana-mana pun. Penduduk Mesir dan Kanaan lemah, serta tidak berdaya kerana kebuluran.
14 Setiap kali mereka membeli gandum, Yusuf mengumpulkan wang pembayar gandum, lalu menyimpannya di istana raja.
15 Apabila wang di Mesir dan di Kanaan habis dibelanjakan, orang Mesir datang kepada Yusuf dan berkata, “Berilah kami makanan! Jangan biar kami mati. Wang kami sudah habis.”
16 Yusuf menjawab, “Jika wang kamu sudah habis, berikanlah ternakan kamu, lalu aku akan memberikan makanan kepada kamu sebagai ganti ternakan.”
17 Oleh itu mereka memberikan ternakan kepada Yusuf. Kemudian Yusuf memberikan makanan kepada mereka sebagai ganti kuda, domba, kambing, lembu, dan keldai. Pada tahun itu, Yusuf memberikan makanan kepada mereka dan mereka membayarnya dengan ternakan.