17 Oleh itu mereka memberikan ternakan kepada Yusuf. Kemudian Yusuf memberikan makanan kepada mereka sebagai ganti kuda, domba, kambing, lembu, dan keldai. Pada tahun itu, Yusuf memberikan makanan kepada mereka dan mereka membayarnya dengan ternakan.
18 Pada tahun yang berikut mereka datang lagi kepada Yusuf dan berkata, “Kami berterus terang kepada tuan bahawa wang kami sudah habis dan ternakan kami sudah menjadi milik tuan. Kami tidak mempunyai apa-apa lagi yang dapat diberikan kepada tuan, selain diri kami sendiri dan tanah kami.
19 Jangan biar kami mati! Jangan biar ladang-ladang kami menjadi tandus. Belilah kami dan tanah kami dengan gandum. Kami dan tanah kami akan menjadi milik raja. Berilah kami gandum untuk menyambung hidup kami, dan juga benih untuk ditanam di ladang!”
20 Kemudian Yusuf membeli seluruh tanah di Mesir untuk raja. Tiap-tiap orang Mesir terpaksa menjual tanahnya kerana masa kebuluran itu sangat dahsyat. Lalu seluruh tanah di Mesir menjadi milik raja.
21 Rakyat seluruh Mesir dijadikan hamba oleh Yusuf.
22 Hanya tanah kepunyaan para imam yang tidak dibeli oleh Yusuf. Mereka tidak perlu menjual tanah kerana raja memberi mereka elaun tetap untuk keperluan hidup.
23 Yusuf berkata kepada rakyat, “Sekarang aku telah membeli kamu dan tanah kamu untuk raja. Oleh itu, ambillah benih ini untuk ditanam di ladang kamu.