20 Kemudian Yusuf membeli seluruh tanah di Mesir untuk raja. Tiap-tiap orang Mesir terpaksa menjual tanahnya kerana masa kebuluran itu sangat dahsyat. Lalu seluruh tanah di Mesir menjadi milik raja.
21 Rakyat seluruh Mesir dijadikan hamba oleh Yusuf.
22 Hanya tanah kepunyaan para imam yang tidak dibeli oleh Yusuf. Mereka tidak perlu menjual tanah kerana raja memberi mereka elaun tetap untuk keperluan hidup.
23 Yusuf berkata kepada rakyat, “Sekarang aku telah membeli kamu dan tanah kamu untuk raja. Oleh itu, ambillah benih ini untuk ditanam di ladang kamu.
24 Pada waktu menuai nanti, kamu mesti memberikan seperlima daripada hasilnya kepada raja. Kamu boleh menggunakan bakinya sebagai benih, dan untuk makanan kamu serta keluarga kamu.”
25 Mereka menjawab, “Tuan sudah berjasa kepada kami; tuan sudah menyelamatkan kami. Oleh itu kami rela menjadi hamba raja.”
26 Kemudian Yusuf menjadikan hal itu undang-undang di negeri Mesir, iaitu seperlima daripada hasil tuaian mesti menjadi milik raja. Sampai sekarang undang-undang itu masih berlaku. Hanya tanah milik para imam yang tidak dijadikan milik raja.