6 Anggaplah negeri Mesir sebagai negerimu sendiri. Biarlah mereka menetap di daerah Gosyen, daerah yang terbaik di negeri ini. Jika ada orang yang cekap antara mereka, tugaskanlah orang itu menjaga ternakan beta.”
7 Yusuf juga membawa bapanya menghadap raja. Yakub memberkati raja,
8 lalu raja bertanya kepadanya, “Berapakah umurmu?”
9 Yakub menjawab, “Hamba sudah hidup seratus tiga puluh tahun sebagai pengembara. Hidup hamba ini singkat dan penuh dengan kesukaran, tidak seperti panjangnya umur nenek moyang hamba yang hidup sebagai pengembara.”
10 Selepas itu Yakub memberkati raja, lalu meninggalkan tempat itu.
11 Yusuf membantu bapa dan saudara-saudaranya menetap di Mesir. Dia memberi mereka tanah sebagai hak milik di kawasan yang terbaik di negeri itu, dekat kota Rameses, sebagaimana yang diperintahkan raja.
12 Yusuf menyediakan makanan bagi bapanya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya, termasuk yang paling muda.